Sejarah Sekolah

SJK ( C ) MOH GHEE  ditubuhkan oleh golongan orang kaya pada tahun 1918. Tapak sekolah pada masa itu adalah SRJK ( C ) MOH GHEE CAWANGAN sekarang yang terletak di Jalan Jelutong. Bangunan sekolah pada masa itu hanya merupakan sebuah rumah atap sahaja.



En. Khoo Teng Chai adalah Guru Besar sekolah ini sebelum Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1940, Perang Dunia Kedua tercetus, maka sekolah terpaksa ditutup seketika sehingga perang berakhir.
Akibat dari Perang Dunia Kedua, ramai kanak-kanak didapati tidak bersekolah kerana pertumbuhan penduduk yang begitu pesat di kawasan Jelutong. Oleh yang demikian, pihak pengurus sekolah terpaksa mencari tapak baru untuk mendirikan sekolah bagi memuatkan kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah pada masa itu. Akhirnya sekeping tanah yang seluas seekar yang terletak di Lorong Perak didermakan oleh para peniaga dari Jelutong untuk didirikan sebuah sekolah. Sekolah itu merupakan
SJK ( C ) MOH GHEE CAWANGAN sekarang.
Sekolah baru di Lorong Perak siap dibina pada bulan Ogos 1949. En. Phuah Cheow Chui, En. Tung Ji Hoon dan En. Khor Beng pernah menjadi Guru Besar di sekolah itu. Setelah mendirikan sekolah baru itu lembaga pengurus berkeputusan menamakan sekolah baru itu sebagai Moh Ghee ( Pusat ) manakala sekolah lama yang terletak di Jalan Jelutong sebagai Moh Ghee ( Cawangan ). Justeru itu pentadbiran sekolah Moh Ghee pun dipecahkan kepada pusat dan cawangan dan masing-masing mempunyai guru besar sendiri.
Pada tahun 1934 sebuah sekolah berupa rumah kampung tradisional dibinakan di Jalan Jelutong untuk menggantikan rumah atap yang pada masa itu telah roboh.
Pada tahun 1974, bilangan murid bagi SRJK ( C ) Moh Ghee Cawangan kian meningkat. Sekolah rumah kampung tradisional itu tidak cukup untuk memuatkan murid-murid yang semakin tambah itu, maka sebuah bangunan yang bertingkat dua pun didirikan di belakang sekolah rumah kampung itu. Bangunan itu disiapkan pada tahun 1976. Bangunan baru itu mempunyai dua buah bilik darjah, sebuah kantin, sebuah dewan, sebuah bilik stor dan tiga buah tandas. ( Blok B )

Pada tahun 1994 selaras dengan keperluan sekolah, pihak Jemaah Pengurus sekolah telah membina sebuah bangunan yang mempunyai sebuah bilik Muzik dan sebuah bilik Kemahiran Hidup/Sains ( Blok B ).

Pada tahun 1996, oleh kerana bangunan depan sekolah telah lama dan bocor, pihak Jemaah Pengurus sekolah mengambil tindakan untuk merobohkan bangunan yang merbahaya itu. Sebuah bangunan baru telah siap dibinakan di tapak bangunan lama tersebut pada bulan September, 1998. Bangunan baru itu mempunyai empat buah bilik darjah, sebuah bilik Guru Besar, sebuah bilik guru, sebuah bilik Perpustakaan, sebuah bilik Pusat Sumber dan sebuah bilik Komputer. ( Blok A )

Memandangkan kemudahan-kemudahan asas yang berada dalam sekolah ini, kini sekolah sedang bergiat maju menuju ke arah mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan.

PENGASAS SEKOLAH
Sekolah Moh Ghee didirikan dalam tahun 1918. Pada masa itu penghuni di kawasan Jelutong kebanyakannya orang Cina. Akan tetapi kawasan ini kekurangan sekolah rendah aliran Bahasa Cina, oleh itu terdapat sekumpulan orang Cina yang berpendapat bahawa perlunya mendirikan lagi sebuah sekolah rendah aliran Cina.

Kumpulan orang Cina itu terdiri daripada En. Chia You Choon, En. Toh cheng Hua, En. Chen Yin Sian, En. Goh Mah chun, En. Ch’ng Lai Hock, En. Lim Chang Chu, En. Tan Chee Hu, En. Yu Tian Su, En. Chan Cha Mor, En. Phang Ma Song, En. Koay Sek Mor, dan En. Ch’ng Ma Shih. Merekalah pengasas-pengasas sekolah Moh Ghee. Kebanyakan daripada mereka adalah peniaga dan orang ternama di kawasan ini. Mereka mempunyai pengaruh yang kuat terhadap penghuni di kawasan ini. Sebaik sahaja mereka memberi cadangan untuk mendirikan sekolah ini,penduduk kawasan Jelutong pun memberi sokongan yang sepenuhnya. Mereka memberi sumbangan dalam bentuk wang dan tenaga. Tidak lama selepas itu sebuah sekolah atap pun dibina.

Itu adalah asas sekolah Moh Ghee. Nama ‘Moh Ghee’ dipilih supaya mengenangkan jasa mereka yang telah menyumbangkan wang dan tenaga demi kejayaan sekolah ini.